Cerpen Romantik Suami Isteri

Cerpen Romantik kisah suami dan Isteri. Zaman sekarang ni, kisah ataupun cerpen dan novel suami isteri kian mendapat tempat di hati ramai pihak. Adakah ini perkara positif ataupun sebaliknya?

Di kesempatan ini, saya ingin berkongsi satu cerpen kisah romantik Suami Isteri yang terbaik yang pernah saya baca.
cerpen suami isteri


Cerpen karangan Ana Sofiya..

=============================

Bulan Rejab dah hampir tiba. Mereka harus pergi membeli-belah segala kain untuk
dijahit menjadi baju raya. Jika tidak, mahu menangis adik-adik di kampung,
kerana mereka tidak punya baju raya untuk dipakai pada pagi Syawal nanti. Baju
kurung kan wajib dipakai di pagi raya? Jika tidak diupah sekarang, hah, mahu
kopak poket seluar orang tu sebab terpaksa beli baju yang 'ready made'. Bukan
terpaksa membeli sepersalinan untuk dirinya sahaja malah untuk Zana, untuk
Aziah dan untuk Zabaniah juga. Itu belum termasuk baju baru untuk emak. Lagi?
Oh ya, untuk diri orang tu sendiri? Mesti nak baju Melayu yang baru, kan?



Maka, sibuklah mereka berdua memilih-milih di dalam pusat membeli-belah
Gulati's Textiles tu. Warna dan corak pilihannya, dikritik oleh orang itu.
Merah sangatlah Mak Ngah! Kuningnyerr. macam warna pengkungfu shaolin! Alah
pucatnya.tu warna untuk orang tua!

Aduiii, kenapalah pakcik muda ni cerewet sangat orangnya? Umur belumpun 30
tahun tapi, mulut dia kalau dapat berleter, mengalahkan orang perempuan. Oh,
lupa pula! Kan mak dia cakap, masa dia mengandungkan pakcik ni dulu, emak dia
suka makan bahagian ayam yang paling banyak lemak tu? Hehe, patutlahhh..

"Kiki, awak ke tu? Saya tak salah orang kan? Awak Kiki, betul tak?"

Suara itu mengingatkan Nur Zakiah kepada seseorang. Dan, panggilan itu memang
panggilan khas seseorang yang diingati itu untuk dirinya. Panggilan itu sangat
istimewa. Dia suka dipanggil begitu. Lebih-lebih lagi kalau yang memanggil itu
ialah.

"Aduh!" Mata dijegilkan kepada lelaki yang sedang berdiri tegak di sebelahnya.

"Sakitlah! Kenapa tujah perut kita dengan siku awak tu? Tak kesian pada kita,
ke? Dahlah kurus kering ni, isi pun tak ada, lagi mahu kasi sakit ka?" Nur
Zakiah menjeling lelaki di sebelah. Marahlah tu! Namun seperti selalu, setiap
jelingannya mesti dibalas dengan senyuman, membuat dia mati kutu. Dan,
melahirkan rasa tak keruan dalam hati.

"Kiki!"

'Alah, suara itu lagi. Kenapa tetiba aje aku teringatkan dia ni?' hati berdesis
sendiri.

"Yang, sejak bila awak jadi promoter Kiki Lala? Berapa komisyen yang awak
dapat? Mana bahagian saya selama 6 bulan kita hidup sama-sama ni? Dan, bukan
Kiki Lala tu jenama budak-budak ke? Ni apasal awak pulak yang di 'kiki'kan?"

'Kan dah cakap? Mamat bontot ayam ni kalau dapat celoteh, non-stop punya!'

Fairuz Zulkif menatap wajah isteri yang sedang keliru. Sambil menarik sengih,
dia memusingkan tubuh Nur Zakiah supaya wanita itu dapat melihat wajah lelaki
yang menyapa dengan panggilan yang tidak bernas itu.

"Kiki Lala, dialah yang dok panggil awak, Kiki, Kiki, dari tadi." Bisiknya di
telinga.

Nur Zakiah menatap seraut wajah lelaki itu. Rasa terkejut bercampur dengan
segala rasa-rasa yang sudah lama hilang, menjadikan wajah cantiknya pucat.
Hampir dia tidak dapat mengawal diri yang sedang berdiri disebabkan dua kaki
tiba-tiba dirasakan bagai hendak membengkok pula, kerana tidak mahu berpijak di
bumi. Namun, dia akur dengan kehadiran si perkasa di sisi. Umpama sokong yang
tidak akan membenarkan dia rebah. Umpama ranting manggis yang liat, yang sukar
patah, menjadi tempat diri berpaut.

"Kiki.." Lelaki kacak itu memanggil lagi, entah untuk kali yang ke berapa.

"Abang Azlan?"

Panggilan yang keluar daripada mulut Zakiah menyebabkan Fairuz tersentak.
Senyuman manis di bibir, terus hilang. Tangan yang memaut tubuh Zakiah secara
automatik diturunkan. Mood ceria hilang. Hendak bergurau? Hmm, tak payah. Dah
malas dah!

"Awak, inilah Abang Azlan, wak!" Zakiah memberitahu tanpa dipinta oleh Fairuz.
Tenang sekali dia menuturkan nama itu. Wajah Fairuz ditatap sambil tersenyum
manis.

'Amboi, bahagianya dia dapat jumpa kekasih lama!' Fairuz menggumam dalam hati
bersama perasaan cemburu yang menyerang secara besar-besaran, tanpa dapat
ditahan-tahan.

"Apa khabar, Kiki? Dah 6 bulan, 12 hari, 14 jam kita terpisah."

Fairuz merengus kasar. 'Eleh, poyo punya mamat! Woi, kenapa tak sebut minit dan
saat sekali? Barulah betul nampak yang awak tu tak ada kerja lain, selain asyik
mengira waktu aje!' leternya dalam hati.

Zakiah merenung tajam wajah di hadapannya.

"Aik, sejak bila abang jadi tukang kira bilangan hari, jam dan bulan ni? Tak
nak hitung minit dengan saat dia sekali ke?" perlinya kepada Azlan. Soalan yang
menyebabkan Fairuz ketawa kecil di sebelah.

"Kiki, boleh kita berbual tak? Abang nak jelaskan semuanya pada Kiki supaya
hilang semua prasangka Kiki pada abang. Banyak yang Kiki perlu tahu!" kata
Azlan perlahan. Dia mahu, kata-katanya hanya didengari oleh Zakiah. Siapapun
lelaki yang begitu setia berdiri bagai Pak Pacak di sisi, tidak penting. Yang
penting, Zakiah harus melupakan segala kekhilafan yang dibuatnya enam bulan
lepas.

"Awak, apa pendapat awak? Perlu ke saya dengar penjelasan Abang Azlan sekarang?
Selepas 6 bulan?" Zakiah bertanya kepada Fairuz, soalan yang membuat Fairuz
merasa dihargai. Iyalah, suami mana yang tidak gembira bila isteri yang selama
ini seolah-olah tidak mempedulikan dirinya, kini meminta dia memberikan
pendapat. Sesuatu yang tidak dijangkakan daripada gadis itu.

"Kalau penting sangat untuk awak bercerita, apa kata kita pergi ke Restoran
Insaf. Kita boleh makan sambil bersembang kat situ." Fairuz mempelawa. Ikhlas!

"Restoran mamak? Hisy! Kiki, sejak bila Kiki suka makan benda-benda banyak
lemak ni? Patutlah abang tengok Kiki dah tembam!" sela Azlan.

Zakiah mengetap bibir. "Abang Azlan, awak ni nak ke tak nak bagi tau alasan
awak tu pada saya, hah? Kalau tak nak, saya pun tak kisah, tapi, jangan le dok
sebut saya ni tembam!" marahnya.

"Yang, saya tak kisah kalau awak ni dipanggil montel sekalipun!"

"What?"
..............
2

"Dia ni siapa?" Azlan tidak dapat menahan diri daripada mengambil tahu tentang
lelaki penyibuk yang kini sedang mengambil tempat di sebelah 'Kiki'nya, tempat
dia sepatutnya duduk.

"Wak, awak belum kenalkan saya pada Abang Azlan!" sengaja Fairuz berkata begitu
untuk menyedarkan Zakiah.

"Sorilah, B, ayang tak sengajalah!" balas Zakiah manja sambil meletakkan
telapak tangannya di atas tangan Fairuz di atas meja. Perlakuan romantik yang
buat dada Fairuz berdegup kencang. Sepasang mata kuyu menggoda miliknya menatap
sepasang mata bundar milik isterinya. Rasa bahagia hadir dalam dada.

"Abang Lan, kenalkan, suami saya, Fairuz Zulkif. B, nilah Abang Azlan. Ingat
lagi tak pada lelaki yang dah malukan ayang dan keluarga ayang 6 bulan dulu?
Dia nilah orangnya. Abang Azlan inilah yang rombongan pengantinnya tak
sampai-sampai ke rumah ayang tu!" keluh Zakiah tanpa dapat menahan air mata
daripada menitis. Dibiarkan sahaja. Sudah 6 bulan dia tidak menangis. Fairuz
tidak membenarkan dia menitiskan air mata. Kata Fairuz, rugi menangis kerana
seorang lelaki. Lebih rugi kalau air mata itu mengalir atas tindakan tidak
bertanggungjawab lelaki itu! Tapi, kenapa sekarang Fairuz diam sahaja? Kenapa
tidak dihalang tangisannya?

Suasana hening seketika sebelum Azlan menghela nafas yang panjang lalu
memulakan bicara, "Kiki, I'm so sorry!"

"Yalah tu! Mintaklah maaf banyak-banyak! Memang patutpun awak melakukannya!"
Kata Fairuz keras.

"Awak, ini di antara saya dengan Kiki, okey! Awak sepatutnya jadi pendengar
aje. Tahu tak?"

'Hai, berapa lama mamat ni tak ditumbuk orang agaknya? Dah teringin sangat nak
kena ke?' Fairuz sudah mengerutkan dahi.

"Abang Lan, Fairuz is my hubby. So, dia ada hak di sini. Dia boleh dengar, dia
boleh sampuk, malah kalau dia nak tumbuk awak pun boleh jugak, tau! Because, he
has every right to protect me as his wife, you know!"

Wah, sekali lagi, Fairuz merasakan dirinya sangat disayangi oleh Zakiah. Memang
dia tidak menyangka. Memang dia tidak menduga. Kesabarannya selama 6 bulan
menjadi suami terjun kepada gadis itu kini sudah berbaloi. Kasih sayangnya
sudah dibalas. Betulkah?

Enam bulan lalu, dia balik ke kampung untuk sama-sama meraikan majlis
perkahwinan di antara Nur Zakiah Hazwan dengan Azlan Norazmi bin Imran. Kalau
diikutkan hati dan perasaan, dia memang tidak mahu pulang. Maklumlah, hati yang
sedia terluka tentu akan semakin berdarah bila menyaksikan gadis kesayangan
menjadi milik orang. Namun desakan orang tua, tidak mampu ditolak.

Kadang-kadang, hatinya sebal dengan kedua-dua ayah dan ibu. Mereka tahu
kekecewaannya. Mereka arif dengan penderitaan dalam jiwa yang tidak tertanggung
namun mereka tetap memaksa dia pulang. Kata ayah, mereka hidup berjiran, dia
tidak boleh terlalu mengikut perasaan. Apa nanti harus ayah jawab bila Pak Wan
bertanya tentang dia? Kata emak pula, mereka di kampung, hidup bagaikan adik
beradik. Kalau dia tak balik, merajuk pula Mak Non.

Tapi rajuknya, resahnya, kecewa dia? Siapa peduli?

Rasanya, satu kampung Selabak itu tahu betapa dia amat menyayangi Zakiah. Sejak
mengenal erti cinta, hanya nama gadis itu di dalam hatinya. Hanya ada Zakiah di
ruang fikirnya. Namun, Zakiah tidak mahukan dia. Kata Zakiah, cukuplah ibubapa
mereka bersahabat baik, takkan mereka juga mesti bersama? Nanti, keturunan
tidak berkembang. Asyik-asyik Selabak! Asyik-asyik Teluk Intan! Yeark!

Dia akur! Yalah, dah orang tak suka, nak buat macam mana? Cinta tidak boleh
dipaksa-paksa. Hancur hatinya bila mendengar ibunya bercerita tentang kisah
pertunangan Zakiah dengan lelaki dari negeri Adat Pepatih itu. Apatah lagi bila
digembar-gemburkan tentang wang belanja sebanyak RM33,000. Aduh, semua heboh
memperkatakannya, maklumlah, inilah nilai tertinggi untuk seorang anak dara
kampung Selabak. Mungkin kerana, dia, Zakiah, bekerja sebagai jurutera komputer
di Telekom Malaysia.

Sewaktu hari kenduri itu, Fairuz asyik membuat kerja. Dia tidak mahu
berbual-bual dengan sesiapa kerana setiap kali bersembang, mereka pasti
menunjukkan wajah simpati kepadanya. Walau dia cuba meyakinkan bahawa dia okey
sahaja, tidak siapa pun percaya. Senyumnya dikatakan tawar. Guraunya dikatakan
tidak lucu. Bicaranya dikatakan hambar. Fairuz tidak peduli. Dia cuba
memberitahu bahawa dia seorang 'gentleman'! Dia cuba tertawa. Cuba menutup
resah dalam hati.

Namun, bila melihat Zakiah menitiskan air mata bila pengantin lelaki tidak
kunjung tiba, hatinya turut menangis. Bila melihat Zakiah pengsan mendapat
khabar bahawa Azlan tidak datang, dia turut ingin pengsan bersama-sama.

"Kenapa Azlan tak jadi datang, Pak Wan?" kedengaran suara bertanya.

"Entah, dia kata, mak dia tak bagi!" balas Pak Wan lemah.

"Apa alasannya?" tanya yang lain.

"Sebab pilihan Azlan bukan pilihan emak dia!"

"Hai, kut iya pun, kenapa tak tolak dari awal? Kenapa sekarang?"

Pak Wan menggelengkan kepala. "Kata Azlan tadi, emaknya suruh dia pilih antara
dua; emak dia atau Zakiah. Azlan terpaksa pilih mak dia. Kalau tidak, emak dia
nak beri semua harta kepada adik perempuannya." Dia memberitahu.

Fairuz menghentakkan tangan ke dinding beranda dan tindakannya menyebabkan Pak
Wan merenung dia. Lama pandangan melekat sebelum Pak Wan bertanya soalan cepu
gangsa itu.

"Fairuz, sudi ke kamu jadi menantu Pak Wan? Sudi ke kamu kahwin dengan anak
perempuan Pak Wan yang bodoh ni? Sudi ke kamu menutup aib yang Pak Wan sedang
tanggung ni?"

Semua orang memandang wajah Fairuz. Tajam. Mereka menanti jawapannya yang
pasti. Malah, sudah ada suara-suara yang meminta dia bersetuju menyanggupi
permintaan Pak Wan itu. Mula-mula suara seorang dua. Lama kelamaan, satu
kampung, lelaki dan perempuan memekik namanya.

"Fairuz..Fairuz.Fairuz..!!!"

"Jangan, wak! Jangan paksa diri awak kerana kesiankan saya. Saya memang bodoh
sebab percayakan Azlan, tapi saya boleh terima kenyataan ini. Dah tak ada jodoh
kami, nak buat macam mana. Saya redha!"

"Awak memang tak mahukan saya?" tanya dia. Hati tersayat melihat anggukan
Zakiah.

"Jangan kamu pedulikan budak ni. Tanya hati kamu, Fairuz! Kamu sanggup atau
tidak terima Zakiah ni. Kalau kamu sanggup, Pak Wan nak buat sujud syukur kat
sini. Kamu dah selamatkan maruah Pak Wan satu keluarga."

Mata Fairuz meniti dari satu wajah ke satu wajah. Oleh kerana yang menggeleng
hanya Zakiah seorang, tetapi yang mengangguk terlalu ramai, maka dia pun
membuat keputusan berani mati.

"Baiklah, Pak Wan. Kahwinkan saya dengan Zakiah sekarang juga. Saya sanggup!"

"Fairuz? Awak tu berkursus pun tidak!" bentak Zakiah.

"Dah, dah lama saya ada sijil. Mungkin lebih lama daripada awak!" balas Fairuz.

Dengan pengakuannya itu, tidak lama kemudian, dirinya, Fairuz Zulkif sah
menjadi suami kepada Nur Zakiah.

Esoknya, dia membawa Zakiah balik ke Kuala Lumpur untuk memulakan hidup
bersuami isteri. Berbulan madu? Alah, kalau dah duduk berdua, walau macam orang
asing kehidupan itu, ia tetap dianggap honeymoon juga. Walau Zakiah tidak
merestui pernikahan itu (ada ke istilah ni?), namun Zakiah tetap menjalankan
tanggungjawabnya sebagai seorang isteri. Makan, pakai, segala-gala., semuanya
sempurna, menambahkan kasihnya kepada gadis itu.

Ya, cintanya semakin mekar. Hari demi hari, Allah menyemarakkan rasa kasih
kepada isteri. Walau sibuk bertugas sebagai seorang doktor, yang terpaksa on
call sekali sekala, selama 24 jam, dia tahu, bila dia pulang ke rumah,
kepenatan pasti hilang apabila menatap seraut wajah Zakiah.
............
3

"Awak, isteri Abang Lan tu kan, cantik sangat. Hari tu, dia tunjuk gambar Mawar
pada saya." Zakiah memberitahu Fairuz, sambil dia menyisir rambut pagi itu.

Hari ini hari Sabtu. Zakiah bercuti. Namun Fairuz tidak. Lelaki itu sedang
sibuk berpakaian. Nampak kemas berkemeja warna kelabu dan berseluar slacks
warna hitam.

Fairuz mengerutkan dahi bila mendengar Zakiah menyebut nama itu lagi. Sangkanya
pertemuan di Gulati's tempoh hari sudah menamatkan segala-gala. Sangkanya, nama
Azlan sudah tidak ada lagi di dalam hati Zakiah. Maklum, Azlan sudahpun berubah
status. Azlan mengaku sudah berkahwin dengan gadis pilihan ibunya. Malah Azlan
juga mengaku bahawa tidak lama lagi dia akan menjadi seorang ayah.

"Awak jumpa dia lagi?"

Zakiah mengangguk.

"Kalau isteri dia cantik sangat, kenapa dia tunjuk gambar bunga mawar pada
awak? Ke, dia bagi awak bunga mawar? Warna merah ke, warna putih?" soal Fairuz
lagi.

"B, dia tak bagi bunga mawar pada ayanglah! Mawar tu nama isteri dia." Balas
Zakiah sambil ketawa kecil, gelihati kerana dia dapat mengesan riak cemburu
dalam nada suara Fairuz. Sesuatu yang baru dan tidak disangka dapat dilihat
pada riak wajah lelaki ini.

"Za, boleh saya cakap sikit?" tanya Fairuz dengan wajah serius.

Zakiah tenang mendengar soalan itu sebelum mengangguk.

"Firstly, saya tak suka panggilan B tu. Rasa macam nak jadi penyengat pulak! B
sana.B sini. Peliklah. Tergeliat lidah. Saya suka jugak panggilan 'ayang' tu,
tapi, rasanya, tak perlu! Iyalah, awak pun bukan sayang saya, kan? Saya rasa
kesian kat awak sebab terpaksa berpura-pura sayang, kasih atau cinta pada saya.
Jangan paksa diri awak, Za. Dari saat saya mula terima awak jadi isteri saya,
saya dah redha dengan penolakan awak pada cinta saya. Dalam tempoh 6 bulan kita
bersama ni, saya cukup puas hati dengan hidup kita berdua. Tak usah sebut
perkataan yang awak tak maksudkannya. Boleh, kan?"

Zakiah diam, hanya sepasang mata bergenang mendengar kata-kata suaminya. Ingin
menafikan, namun dia tidak mampu bersuara lagi. Ingin berkata bahawa tempoh
masa 6 bulan tentu sahaja boleh membuat hati dan perasaannya berubah, tetapi
dia yakin, Dr Fairuz tidak akan mempercayainya bulat-bulat. Yalah, dulu dia
yang berkeras menolak. Dia yang menentang habis-habisan. Dia yang tidak mahu
berkahwin. Mana mungkin lelaki berwibawa seperti suaminya ini percaya bahawa
cintanya pada Azlan sudah mati!

"Za, kalau awak masih cintakan Azlan, saya faham. Memang kita tak boleh nak
lupakan orang yang kita sayang macam tu aje. Tapi, dia suami orang. Lagipun,
dia dah cakap hari tu yang emaknya tetap tak mahu terima awak jadi menantu. So,
pada saya, buat apalah awak nak tunggu Azlan lagi? Buat apa mengharap lagi pada
dia. Cinta awak dengan dia ni, tak akan ke mana-mana sampai bila-bila."

Fairuz bangun. Dia hendak ke tempat kerja. Dia harus ke Hospital Putrajaya.

"Saya tak balik hari ni. On call. Kalau ada apa-apa, telefon saya, Za. Jangan
telefon Azlan. Nanti awak kena tangkap basah dengan dia, malu tahu!" Nasihat
Fairuz selamba kepada isterinya.

Zakiah geram. Kusyen hiasan sofa dibaling ke arah suami yang sedang memakai
kasut.

"Tahulah kekasih hati awak dah balik, tapi janganlah baling-baling muka
handsome saya ni. Nanti kalau awak tinggalkan saya, tak ada yang berkenan pada
muka yang cacat ni pulak. Kesian saya, kan?" bebel Fairuz sambil mengenyitkan
mata ke arah Zakiah.

"Awak? Macam mana saya perlu buat supaya awak percaya yang saya tak cintakan
dia lagi?" tanya Zakiah.

Fairuz diam. Wajahnya serius menatap wajah mulus Zakiah.

"Buktikanlah!" balasnya.

"Macam mana lagi yang awak mahu? Saya dah serahkan jiwa raga pada awak. Itu
bukan bukti ke?" Zakiah bertanya penuh keliru. Pelik lelaki ini. Bukti apa lagi
yang dia mahu?

"Tak apa! Awak ada sehari semalam untuk fikirkan jawapan kepada soalan awak tu.
Esok, insya-Allah, awak akan tahu. Awak aje yaang boleh jawab, bukan perempuan
lain. Bukan jugak saya. Okey, my dear, layan awak, tengok ni, saya dah
terlambat dah. So, saya pergi dulu. Jaga diri!"
...........
4

Tengah hari itu, Zakiah mendapat kiriman emel daripada suaminya.

"Dalam satu kisah percintaan yang menarik. Sepasang suami isteri berjalan di
tepi sebuah tasik yang indah. Kemudian mereka berhenti di sebuah bangku yang
disediakan di tepi tasik itu. Si isteri lantas bertanya kepada si suami.

Ini dialog mereka:

Isteri : Mengapa abang menyukai saya? Mengapa abang cintakan saya?

Suami : Abang tidak boleh menerangkan sebabnya, namun begitu abang
memang menyayangi dan mencintai sayang!

Isteri : Abang tak boleh terangkan sebabnya? Bagaimana abang boleh
katakan abang sayang dan cintakan saya sedangkan abang
tidak boleh menerangkannya.

Suami : Betul! Abang tak tahu sebabnya tetapi abang boleh buktikan
bahawa abang memang cintakan sayang!

Isteri : Tak boleh beri bukti! Tidak! Saya hendak abang terangkan
kepada saya sebabnya. Kawan-kawan saya yang lain yang
mempunyai suami dan teman lelaki, semuanya tahu menerangkan
mengapa mereka mencintai. Dalam bentuk puisi dan syair
lagi. Namun begitu abang tidak boleh terangkan sebabnya.
Arghh, abang buat saya sedih sahaja..

Suami : Menarik nafas panjang dan dia berkata, "Baiklah! Abang
mencintai sayang sebab sayang cantik, mempunyai suara yang
merdu, penyayang dan mengingati abang selalu. Abang juga
sukakan senyuman manis dan setiap tapak sayang melangkah,
di situlah cinta abang bersama sayang!"

Isteri : Tersenyum dan berpuas hati dengan penerangan suaminya tadi.
Namun begitu selang beberapa hari si isteri mengalami
kemalangan dan koma. Si suami amat sedih dan menulis
sepucuk surat kepada isterinya yang disayangi. Surat itu
diletakkan di sebelah katil isterinya di hospital.

Surat tersebut berbunyi begini :

"Sayang! Jika disebabkan suara aku mencintaimu, sekarang bolehkah engkau
bersuara?
Tidak! Oleh itu aku tidak boleh mencintaimu.

Jika disebabkan kasih sayang dan ingatan, aku mencintaimu, sekarang bolehkah
engkau menunjukkannya?
Tidak! Oleh itu aku tidak boleh mencintaimu.

Jika disebabkan senyumanmu, aku mencintaimu, sekarang bolehkah engkau
tersenyum?
Tidak! Oleh itu aku tidak boleh mencintaimu.

Jika disebabkan setiap langkah, aku mencintaimu, sekarang bolehkah engkau
melangkah?
Tidak! Oleh itu aku tidak boleh mencintai mu.

Jika cinta memerlukan sebabnya, seperti sekarang, aku tidak mempunyai sebab
untuk mencintaimu lagi.

Adakah cinta memerlukan sebab?

Tidak! Aku masih mencintaimu seperti dahulu, hingga hari ini dan Insya-Allah,
untuk selama-lamanya. Dan, percayalah sayang, cintaku padamu atau cintamu
padaku tidak perlu ada sebab.

Kadangkala perkara tercantik dan terbaik di dunia ini, tidak boleh dilihat,
mahupun dipegang.

Namun begitu, IA BOLEH DIRASAI DALAM HATI"

Ketika Fairuz sampai ke rumah esoknya, Zakiah meluru ke arah lelaki itu.
Mendakap erat tubuh sasa suaminya. Menatap lembut wajah yang sedang tersenyum
kepadanya.

"Za mintak maaf, bang. Selama ni, bahasa yang Za gunakan kasar aje dengan
abang. Mulai hari ini, Za janji Za akan berubah." Bisiknya lembut.

"Macam inilah isteri Dr Fairuz. Cepat pick-up!" usik Fairuz dalam kegembiraan.

"Sebab cinta tidak memerlukan sebab. Za tak tahu bila Za jatuh kasih pada abang
tapi yang Za tahu, Za suka sangat bila abang tunjukkan rasa cemburu abang pada
Azlan. At least, that proved to me that your love is still there... in your
heart, just for me."

"Azlan? Bukan Abang Azlan? Or Abang Lan?" usik Fairuz.

"Oh ya, lupa pulak! Abang."

"Cubalah sebut kalau nak kena cubit!"

Zakiah ketawa besar. "Cemburu eh?"

"Suami mana yang tak cemburu, cuba Za cakap pada abang. Dengan suami, panggil
awak, wak.. Apa, Za ingat abang ni biawak ke? Tapi bila dengan Azlan tu bukan
main ber abang segala.. huh, nasib baik cepat sedar, kalau tidak?"

"Sorilah. Za ngaku salah! Janji tak buat lagi dah!"

Fairuz tersenyum puas. Bahagianya dia. Doa telah Allah makbulkan. Apa lagi
mahunya?

"Za sayang abang Fairuz Za ni, hmmm.."

Cukuplah ungkapan itu. Cukuplah!

"Abang sayang Za jugak. So very much!"

0 comment... add one now