Qada dan Qadar Pengertian Dan Maksud

Beriman kepada Qada dan Qadar antara salah satu rukun iman. Seringkali kita tertanya-tanya bagaimanakah konsep sebenar qada dan qadar ini. Mungkin perkara ini lernah dibincangkan di sekolah namun tidak mendalam.

Antara soalan yang sering bermain di fikiran orang yang bertanya mengenai qada dan qadar ini adalah;

Jika nasib ku suda dietntukan sejak azali, perlukah aku berusaha lagi.
Allah dah tetapkan apa yang akan aku dapat.
Adakah Allah sudah tetapkan pengakhiran kita nanti bagaimana.


dan banyak lagi...

bagi mejawab semua persoalan yang bermain di minda kita ini, saya bawakan penulisan daripada laman web muftiwp. Penulisan daripada mufti Kuala Lumpur Dr Zulkifli Mohd Al-bakri.
qada

Pengertian dan Persoalan Mengenai Qada dan Qadar


Soalan : Nyatakan maksud Qada’ dan Qadar?

Jawapan:

• Qada’

Dari sudut bahasa Arab, Qada’ bermaksud meletakkan dan memutuskan sesuatu hukum.

Manakala dari sudut syarak, Qada’ ialah perkara yang diputuskan oleh Allah SWT terhadap segala makhluknya samada dari sudut menciptakannya, meniadakannya, atau mengubahnya.



• Qadar

Dari sudut bahasa Arab, Qadar ialah menetapkan suatu kadar tertentu.

Manakala dari sudut syarak, Qadar ialah perkara yang telah ditetapkan kadarnya oleh Allah SWT semenjak azali, supaya ia terjadi mengikut ilmu-Nya yang mendahulu setiap perkara.



Perbezaan antara Qada’ dan Qadar

Qadar ialah menetapkan kadar sesuatu sebelum memutuskannya agar ia berlaku. Manakala Qada’ pula ialah menjadikannya ia berlaku mengikut apa yang ditetapkan. Ini bermakna, Qadar berlaku lebih dahulu daripada Qada’, dan kedua-duanya adalah saling lazim-melazimi dan tidak mungkin berpisah.

Ibn al-Athir mengumpamakan dengan mengatakan Qadar adalah asas atau tapak binaan, dan Qada’ pula ialah binaan yang dibangunkan di atas asas tersebut. Sayyid Sabiq melalui kitabnya Aqidah Islam menyebut, telah disebut berulang kali di dalam al-Quran al-Karim masalah qadar atau takdir, antaranya:

• Segala sesuatu terlaksana dengan takdir Tuhan. Firman Allah SWT:

وَكُلُّ شَىْءٍ عِندَهُۥ بِمِقْدَارٍ

Maksudnya: Dan segala sesuatu itu di sisi Tuhan adalah ketentuan takdir. (Surah al-Ra’d: 8)

Al-Maragi mengulas: Setiap sesuatu mempunyai batas waktu yang telah ditentukan iaitu tidak lebih dan tidak kurang.



• Segala sesuatu diciptakan dengan takdir sebagaimana firman Allah SWT:

وَإِن مِّن شَىْءٍ إِلَّا عِندَنَا خَزَآئِنُهُۥ وَمَا نُنَزِّلُهُۥٓ إِلَّا بِقَدَرٍ مَّعْلُومٍ

Maksudnya: Dan tidak ada sesuatupun melainkan pada sisi Kami-lah khazanahnya, dan Kami tidak menurunkannya melainkan dengan ukuran yang tertentu. (Surah al-Hijr: 21)



Sayyid Qutb berkata: Hanya kepada Allah SWT pulangnya segala sesuatu dan pulangnya setiap orang tepat pada waktu nya yang ditetapkan.



• Segala sesuatu diciptakan dengan takdir. Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT:

إِنَّا كُلَّ شَىْءٍ خَلَقْنَـٰهُ بِقَدَرٍ

Maksudnya: Sesungguhnya Kami menciptakan segala sesuatu itu dengan takdir. (Surah al-Qamar: 49)

Al-Maraghi berkata: “Sesungguhnya segala sesuatu yang terjadi dalam kehidupan dunia ini, adalah ketentuan Allah SWT dan pembentukannya, menurut ketentuan hikmah-Nya Yang Maha Bijaksana dan aturan-Nya yang menyeluruh dan sesuai dengan sunnah-sunnah yang Dia letakkan pada makhluk-Nya.”

Kesimpulan yang dapat diambil daripada ayat di atas ialah bahawa makna qadar atau takdir itu ialah suatu peraturan yang tertentu yang telah dibuat oleh Allah SWT untuk segala yang ada di alam semesta yang maujud ini.

Oleh itu, peraturan-peraturan tersebut merupakan undang-undang umum atau kepastian yang diikatkan di dalamnya sebab dengan musababnya, juga antara sebab dan akibatnya. Imam al-Nawawi Rahimahullah memberikan definisi takdir itu dan berkata: “Sesungguhnya segala sesuatu yang diciptakan oleh Allah SWT sudah digariskan sejak zaman dahulu lagi. Allah SWT Maha Mengetahui setiap yang terjadi pada segala sesuatu tersebut dalam waktu-waktu yang telah ditentukan, sesuai dengan garis yang ditetapkan oleh-Nya. Oleh itu, terjadinya hal ini, pasti akan sesuai menurut sifat-sifat dan keadaannya yang khusus, tepat seperti yang digariskan oleh Allah SWT itu.”

Dalam Syarah Jauharah al-Tauhid oleh Syeikh Ibrahim al-Laqqani menyatakan, mengenai makna dari Qada’ dan Qadar telah menjadi perselesihan antara Asya’irah dan Maturidiah. Makna Qadar menurut Asya’irah adalah:

إِيْجَادُ الله الأشْيَاء عَلَى قَدَرٍ مَخْصُوصٍ وَوَجْهٍ مُعَيَّن أَرَادَهُ تَعَالىَ

Maksudnya: “Allah menjadikan segala sesuatu di atas ketetapan yang dikhususkan dan rupa yang ditentukan yang dikehendaki oleh Allah SWT.”



Berdasarkan makna ini, maka Qadar adalah sifat fi’il kerana ia merupakan satu ibarat daripada kejadian dan kejadian atau al-ijad adalah di antara sifat-sifat af’al. Menurut Maturidiah pula tentang Qadar:

تَحْدِيْدُ الله أَزْلاً كُلَّ مَخْلُوقٍ بِحَدِّهِ الَّذِى يُوْجَدُ عَلَيْهِ مِنْ حُسْنٍ وَقُبْحٍ وَنَفْعٍ وَضُرٍّ إِلىَ غَيْرِ ذَلِكَ أَي عِلْمُهُ تَعَالَى أَزْلاً صِفَاتِ الْمَخْلُوقَاتِ.

Maksudnya: “Pembatasan Allah pada azali akan tiap-tiap makhluk dengan batasan-Nya yang Dia menjadikan atasnya berupa kebaikan, keburukan, kemanfaatan dan kemudharatan hingga yang lainnya dalam erti mengetahui Allah SWT pada azali akan semua sifat-sifat makhluk.”



Berdasarkan pengertian ini, maka Qadar adalah  di antara sifat-sifat zat, sedangkan Qada’ menurut Asya’irah pula adalah:

إرَادَةُ الله الأَشْيَاءَ فِي الأَزْلِ عَلَى مَا هِىَ عَلَيْهِ فِيْمَا لاَ يَزَالُ

Maksudnya: “Kehendak Allah SWT akan segala sesuatu pada azali berdasarkan apa-apa yang sesuai atasnya pada masa yang sudah tidak azali.”



Oleh itu, Qada’ adalah di antara sifat-sifat zat berdasarkan pengertian ini. Manakala Qada’ menurut Maturidiah pula ialah:

إِيْجَادُ الله الأَشْيَاء مَعَ زِيَادَةِ الإحْكَامِ وَالإِتْقَان

Maksudnya: “Allah menjadikan segala sesuatu beserta dengan tambahan pengukuhan dan penelitian.”



Qada’ menurut pengertian ini adalah di antara sifat-sifat af’al. Dengan demikian, makna Qadar itu ialah bersifat hadis dan Qada’ itu bersifat qadim menurut Asya’irah. Sedangkan menurut Maturidiah, Qada’ itulah yang hadith dan Qadar adalah qadim.

Pengulas bait ini membawa kalam musannif tersebut di atas mazhab Maturidiah dalam hal Qada’ dan Qadar, bukan mazhab Asya’irah kerana Qada’ dari sudut bahasa mempunyai lebih kurang tujuh makna dan makna yang paling masyhur adalah al-Hukmu iaitu “penghukuman” yang kembalinya kepada fi’il (perbuatan) maka yang sesuai adalah menafsirkannya pada istilah dengan fi’il. Adapun Qadar maka tidak pernah datang bahawa maknanya dari sudut bahasa adalah fi’il, maka yang sesuai adalah tidak menafsirkannya pada istilah dengan fi’il melainkan dengan ilmu.

Maka kita dapat melihat bahawa Ajhuri menjadikan Qada’ adalah iradah beserta taalluq yang azali menurut qaul yang pertama atau ilmu beserta taalluq yang azali menurut qaul yang kedua. Berdasarkan setiap dari dua qaul ini, maka Qada’ adalah qadim. Menjadikan Qadar adalah penjadian di atas kesesuaian iradah atau penjadian di atas kesesuaian ilmu. Berdasarkan setiap dari dua qaul ini, maka Qada’ adalah baru.

Akhukum Fillah,

Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

0 comment... add one now