Wanita Ini Mendapat gelaran pelajar paling muda mendapat PhD


hazzirah



Dr. Hazzirah Izzati Mat Hassim merupakan pelajar paling muda yang dianugerahkan PhD dari Universiti Teknologi Malaysia(UTM).
Anak kedua daripada 8 adik beradik ini dilahirkan pada 18 Mei 1990 di Kota Bharu, Kelantan.

Bapanya Mat Hassim bekerja sebagai Penolong Pegawai Perubatan di Unit Kecemasan, Hospital Tumpat Kelantan. Ibunya iaitu Martinawati Binti Salleh merupakan guru Bahasa Melayu di sebuah sekolah rendah di Kota Bharu.
Hazzirah memulakan pengajian peringkat awal di Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian (1) pada tahun 1997. Pada tahun 1999, beliau menduduki peperiksaan Penilaian Tahap Satu (PTS) yang membolehkannya melangkau ke Tahun 5 pada usia 10 tahun. Kelulusan 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) telah melayakkannya untuk diterima masuk bagi meneruskan pengajian di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Krai pada tahun 2002 selama 3 tahun.

Selepas tamat Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) dengan keputusan 8A, beliau memohon untuk ke MRSM Bitara Pengkalan Chepa bagi meneruskan pengajian tingkatan 4 dan 5. Peluang belajar di MRSM Bitara Pengkalan Chepa dimanfaatkan sepenuhnya sehingga ditawarkan untuk turut serta dalam Program Ekspress UTM-MARA di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru : sebaik sahaja tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2006 dalam usia 16 tahun. Pemilihan pelajar untuk mengikuti program ini adalah berdasarkan keputusan peperiksaan percubaan SPM.

Beliau kemudiannya mengikuti Program Persediaan Pra-Ijazah selama enam (6) bulan di UTM Johor Bahru bermula Januari 2007 hingga Jun 2007. Berdasarkan keputusan SPM (7A1, 3A2) dan keputusan peperiksaan akhir Program Ekspress UTM-MARA beliau berjaya untuk menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik) dengan mendapat pinjaman boleh ubah dari MARA.
Selepas tiga (3) tahun mengharungi pengajian, beliau berjaya menamatkan pengajian dan bergraduasi pada Oktober 2010 dan telah dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik) dengan Kepujian Kelas Pertama dalam usia 20 tahun. Ekoran daripada itu, pihak MARA telah menukarkan pinjaman boleh ubah kepada biasiswa penuh.

Beliau kemudiannya ditawarkan pula oleh UTM untuk melanjutkan pengajian terus ke peringkat Doktor Falsafah (Ph.D) di bawah program Ph.D Fast Track UTM. Beliau menerima tawaran dan memilih untuk menjalankan kajian dalam bidang Matematik Tulen dan menerima biasiswa MyPhD yang ditawarkan oleh pihak KPT.



Objektif utama tesis Ph.D beliau yang bertajuk “The Homological Functors of Bieberbach Groups with Cyclic Point Groups of Order Two, Three and Five” adalah untuk menentukan beberapa struktur matematik baru bagi kumpulan kristalografi bebas kilasan yang dikenali sebagai kumpulan Bieberbach.



Sepanjang pengajian, beliau telah berjaya menerbitkan beberapa kertas kerja dalam jurnal-jurnal berindeks dan tidak berindeks (lihat lampiran untuk senarai penerbitan beliau). Selain itu, beliau turut menyumbang dalam penerbitan buku “Advances in Group Theory, DNA Splicing and Complex Analysis” melalui dua bab bertajuk “The Nonabelian Tensor Squares of Some 2-Engel Groups” serta “Homological Functors of Some Finite Two-Generator Two-Groups of Nilpotency Class Two”.



Beliau juga telah berjaya mendapatkan hakcipta dari UTM untuk projek beliau yang bertajuk “GAP Algorithms on the Computation of the Nonabelian Tensor Squares and Homological Functors of 2-Engel Groups of Order at Most 16 (GAP_NTS&HF2E)”.

Bagi meluaskan jaringan penyelidikan yang dijalankan, beliau terlibat secara aktif dalam kolaborasi penyelidikan bersama penyelidik dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Di samping itu, dalam menyempurnakan kajian projek Ph.D, beliau telah mengikuti Penyelidikan Sangkutan (Research Attachment) di bawah penyeliaan penyelidik ternama dari universiti di dalam dan luar negara termasuk UPSI, Perak pada April 2012, Januari 2013 dan April 2013; Ferdowsi University of Masshad, Iran pada Januari – Februari 2012, University of Palermo, Itali pada April 2012 dan University of Brasilia, Brazil pada Mei 2013.



Beliau juga telah membentangkan hasil penyelidikannya di persidangan antarabangsa seperti Iranian Algebra Seminar di Sabzevar, Iran pada Januari 2012 , Biennial International Group Theory Conference di Istanbul, Turki pada Februari 2013, Asian Mathematical Conference di Busan, Korea pada Julai 2013, Algebra Seminar di University of Brasilia, Brazil pada Mei 2013 dan Algebra Seminar di Bandung, Indonesia November 2013. Tidak hanya tertumpu pada akademik dan penyelidikan, beliau turut bergiat aktif dalam persatuan Pasca Siswazah di peringkat Jabatan dan Fakulti serta terlibat dalam penganjuran beberapa program seperti Bengkel LATEX, Bengkel Groups, Algorithms and Programming (GAP), Bengkel Penyediaan Tesis dan Jurnal serta persidangan peringkat antarabangsa termasuk Biennal International Group Theory Conference (BIGTC) yang diadakan pada Februari 2011 dan International Science Postgraduate Conference (ISPC) pada November 2012.



Di samping itu, beliau turut melibatkan diri sebagai ahli jawatankuasa pelaksana beberapa program anjuran Persatuan Sains Matematik Malaysia (PERSAMA) seperti Olimpiad Matematik Kebangsaan (2010-2014) dan Anugerah PERSAMA (2010-2012).

Pada 1 April 2014, Hazzirah telah menjalani Peperiksaan Lisan bagi pengajian Doktor Falsafahnya dan tesis Ph.D beliau telah diluluskan dengan pembetulan kecil. Setelah menyiap dan menghantar pembetulan tesis, beliau telah diperakukan oleh Jawatankuasa Senat UTM dan lulus Ijazah Doktor Falsafah pada usia 24 tahun 2 bulan.

Sumber: www.news.utm.my

0 comment... add one now